PETALING JAYA – Perasaan ‘berat’ untuk memulakan minggu baharu atau ‘Monday blues’ terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial apabila ramai berpendapat bulan April terasa terlalu panjang.
Seorang pengguna Threads @aliapfft berkongsi perasaan tersebut dengan nada bersahaja apabila menyifatkan situasi itu sebagai ‘titik terendah’ apabila esok merupakan hari Isnin, namun masih lagi berada dalam bulan April.
“Titik terendah, esok Isnin + masih April. Lama sangat, 10 kali Isnin gamaknya, stres,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Perkongsian itu nyata mendapat perhatian ramai apabila rata-rata netizen turut berkongsi perasaan sama, khususnya berkaitan tekanan memulakan minggu kerja yang dirasakan berulang-ulang tanpa penghujung.
Seorang pengguna @nr_syakirah99 berkata, bulan April kali ini dirasakan terlalu panjang berbanding bulan-bulan lain.
“Lama rasanya bulan 4,” katanya ringkas.
Turut senada, @Mil4pov menyifatkan seolah-olah setiap hari terasa seperti hari Isnin dan tertanya-tanya bilakah bulan berikut akan menjelma.
“Macam tiap hari, hari Isnin. Mana Mei ni, Ya Allah,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna @fxkhrudeen mengaitkan tempoh bulan yang panjang itu dengan keadaan kewangan yang semakin menekan.
“Terasa lama dan miskin,” katanya. – KOSMO! ONLINE














