PETALING JAYA – Konsert “Winds of Glory” oleh Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) bersama penyanyi popular Amir Masdi membuktikan keupayaan pendidikan negara dalam melahirkan generasi muda yang berbakat dan berdaya saing hingga ke peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan SPWinds meraih pengiktirafan global termasuk Anugerah Emas di Vienna menjadi bukti kukuh bahawa ekosistem pendidikan negara yang disokong guru, ibu bapa dan masyarakat mampu mencungkil bakat serta membina sahsiah unggul.
Menurut beliau, kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan penggiat seni profesional seperti Amir Masdi bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran, malah membuka ruang lebih luas kepada pelajar untuk meningkatkan keyakinan diri.
“Ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu manifestasi bagaimana pendidikan yang tuntas mampu membentuk generasi berani dan kompetitif di pentas dunia,” katanya.
Beliau turut menyeru agar usaha tersebut terus mendapat sokongan semua pihak termasuk sektor swasta dan masyarakat bagi memastikan penyertaan pelajar ke pentas antarabangsa seperti World Music Contest 2026 dapat direalisasikan.
Tambah beliau, inisiatif seumpama itu penting dalam membina legasi generasi muda yang bukan sahaja berbudaya, malah mampu mengharumkan nama negara di persada global.- KOSMO! ONLINE














