SHAH ALAM – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merekodkan tujuh kes maut di tempat kerja di Selangor sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Hazlina Yon berkata, lima daripada kes itu berlaku di sektor pembinaan manakala masing-masing satu di kuari dan sektor penyimpanan.
Jelas beliau, statistik itu turut merekodkan sebanyak 16 kes Hilang Upaya Kekal (HUK) dan 524 kes Tidak Hilang Upaya Kekal (THUK) di negeri ini.
“Bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, JKKP turut menerima 36 kes kejadian berbahaya dan 576 kes penyakit pekerjaan.
“Pemerhatian mendapati jumlah kes maut di tempat kerja yang dilaporkan di Selangor agak menurun berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya selepas merasmikan program pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) peserta terbanyak bagi latihan kesihatan dan keselamatan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














