SHAH ALAM – Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi masjid pertama menghimpunkan peserta terbanyak bagi latihan kesihatan dan keselamatan di negara ini.
Rekod itu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kehadiran 519 peserta daripada 300 masjid di seluruh Selangor.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, latihan itu merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh budaya keselamatan dalam institusi masjid selaras tuntutan maqasid syariah terutama Hifz Nafs atau pemeliharaan nyawa.
Kata beliau, peserta program berskala besar itu terdiri daripada kakitangan JAIS, nazir dan ahli jawatankuasa masjid, surau kariah, jemaah serta wakil agensi kerajaan.
“Kesemua peserta mengikuti latihan secara serentak menjadikan ia program keselamatan berasaskan komuniti masjid yang paling signifikan pernah dianjurkan.
“Bertemakan ‘Selamat untuk Jemaah, Sempurna untuk Ibadah’, ia menekankan aspek kesiapsiagaan risiko kebakaran, kemalangan dan kecemasan selain garis panduan serta amalan terbaik pengurusan keselamatan masjid,” katanya.
Terdahulu, program itu dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Hazlina Yon yang turut menyaksikan penyerahan sijil MBOR di masjid berkenaan, hari ini.
– KOSMO! ONLINE














