PETALING JAYA – Pempengaruh Mekyun berkongsi kisah inspirasinya yang enggan menjadikan sebarang kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak memberikan yang terbaik dalam pelajaran.
Menurut Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 29, prinsip utamanya adalah disiplin selain mengelak mengeluh panjang dalam kehidupan seharian.
“Saya enggan memberi alasan. Meja rosak? Saya bina meja sendiri semata-mata supaya saya boleh belajar.
“Tiada keluhan, tiada drama, buat saja dan satu perkara yang saya selalu pegang dari dulu ‘study smart not study hard’.
“Ini bukan tentang berapa lama anda duduk tetapi sejauh mana anda faham,” katanya dalam InstaStory.
Mendedahkan detik paling mencabar, Mekyun mengakui pernah mengalami fasa patah hati yang teruk tetapi memilih untuk berjuang sehingga berjaya meraih keputusan membanggakan.
“Yang paling gila? Seminggu sebelum tahun akhir, saya melalui fasa patah hati yang paling teruk.
“Saya benar-benar hancur. Tetapi tahu tak? Saya tetap teruskan.
“4 flat (Purata Nilai Gred Kumulatif — PNGK ), Anugerah Dekan, Anugerah Naib Canselor, Graduan Kelas Pertama dan saya terpilih menjadi Ikon Pelajar universiti saya,” kongsinya.
Untuk rekod, Mekyun menerima pendidikan pengajian tinggi di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Diploma Kejuruteraan Elektrik. – KOSMO! ONLINE














