DUNGUN – Hutan paya gambut seluas kira-kira 32 hektar berhampiran Kampung Baru Kuala Abang di sini sedang marak terbakar sejak kelmarin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd. Izwan Hashim berkata, kaedah pengeboman air menerusi helikopter telah digunakan untuk memadamkan kebakaran hutan paya gambut tersebut.
“Helikopter Agusta AW139 telah diterbangkan dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang bagi tujuan pemadaman kebakaran terbabit.
“Aset sama juga digunakan untuk menghantar anggota bomba ke lokasi kebakaran yang sukar diakses melalui jalan darat,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Kuala Abang di sini hari ini.
Mohd. Izwan berkata, pasukan bomba berhadapan cabaran kebakaran berulang dan api cepat merebak ekoran cuaca kering dan tiupan angin kuat.
Beliau berkata, setakat ini, seramai 52 anggota bomba telah digerakkan bagi memadamkan kebakaran hutan paya gambut terbabit.
“Pencarian sumber air bagi pemadaman juga mencabar berikutan kebanyakan paya berhampiran sudah semakin mengering,” katanya. – KOSMO! ONLINE














