fbpx
Gambar kenangan Jamri bersama Ruhana ketika bercuti di Vietnam baru-baru ini.

‘Hari terakhir di Vietnam, isteri diserang strok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kegembiraan sepasang suami isteri dari Sabah untuk pulang ke tanah air selepas bercuti di Vietnam bertukar tragedi apabila si isteri diserang angin ahmar sehingga koma dan kini dirawat di sebuah hospital di negara itu sejak Selasa lalu.

Isteri kepada Jamri Herry, 40, iaitu Ruhana Joseph, 34, dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan kini bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan di hospital tersebut.

Menurut Jamri, mereka mula bercuti di negara tersebut sejak 16 April lalu, namun kegembiraan mereka berakhir dengan ujian berat pada hari terakhir sebelum mereka dijadualkan pulang ke tanah air.

“Doktor kata isteri saya 50-50 sebab masih koma, setiap hari saya tanya, memang doktor memaklumkan benda yang sama kepada saya iaitu tidak boleh nak buat apa-apa sebab sudah koma,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menceritakan detik memilukan itu, Jamri berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi pada 21 April 2026, iaitu hari yang sepatutnya mereka berlepas pulang ke Malaysia.

Tambahnya, Ruhana tidak mempunyai apa-apa tanda sebelum terkena serangan penyakit ini dan secara tiba-tiba diserang seolah-olah terkena sawan sebelum dia terpaksa berusaha menenangkan mangsa sebelum di bawa ke hospital.

“Tiada tanda awal. Tiba-tiba dekat hotel, mulut dia mula berbuih dan dalam keadaan panik saya pikul isteri dari bilik hotel hingga ke jalan raya untuk mencari pertolongan kerana bantuan dari pihak hospital lambat.

“Waktu itu, keadaan isteri macam kena sawan dan tibanya di hospital, proses pendaftaran juga mengambil masa kerana ada prosedur tertentu sebab kami ini hanyalah warga asing di sana,” ujarnya.

Menyedari keadaan isterinya yang semakin meruncing, Jamri kini buntu memikirkan cara untuk membawa Ruhana pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pasangan yang mempunyai dua anak itu dianggar memerlukan sehingga RM23,900 (AS$5,000) untuk membawa pulang Ruhana menerusi pe­nerbangan khas.

Dimaklumkan bahawa perkara itu kini dalam urusan pihak atasan yang terlibat.

Selain kos penerbangan, beban kewangannya semakin bertambah memandangkan kos perubatan harian di hospital kini dilaporkan mencecah lingkungan 14 hingga 20 juta Dong (RM2,600 hingga RM3,700).

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 160184180945 miliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN