PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam percakapan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina.
MCMC dalam kenyataan berkata, individu itu hadir ke ibu pejabat MCMC dengan ditemani peguam bagi memberi keterangan.
“MCMC menyita sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut bagi membantu siasatan. Tindakan ini dibuat di bawah Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“MCMC memandang serius penyalahgunaan platform media sosial dan saluran digital untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














