fbpx
Tangkap layar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian samun di sebuah kedai runcit di Mantin semalam.

Penyamun kedai runcit diberkas kurang 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Tindakan pantas polis berjaya memberkas seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Mantin, dekat sini, kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi, seorang pekerja kedai berdepan detik cemas apabila disamun lelaki bersenjatakan parang sebelum suspek melarikan wang tunai, syiling serta minuman keras.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.27 tengah hari hari sama dan hasil risikan, sepasukan polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an kira-kira pukul 10.30 malam di tepi Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) berhampiran Kajang, Selangor.

“Turut dirampas sebuah Proton Perdana dipercayai digunakan suspek, beberapa telefon bimbit, sebilah pedang serta pakaian yang dipercayai dipakai ketika kejadian,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan samun dan dua kesalahan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan suspek dipercayai melakukan samun bagi mendapatkan wang untuk membeli bahan terlarang serta mengisi minyak kenderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN