LIPIS – Belum reda kesedihan kehilangan bayi, seorang wanita yang sedang berpantang diduga sekali lagi apabila rumah didiaminya bersama suami dan tiga anak di Desa Jeram Batu di sini musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.
Mangsa, Ros Aziema Mat Robi, 27, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam, dia sekeluarga berada di rumah ibunya di Taman Setia Jaya di sini sebelum dimaklumkan oleh jiran berhampiran tentang kejadian itu.
“Saya masih dalam tempoh berpantang 40 hari selepas melahirkan bayi yang meninggal dunia sebaik dilahirkan. Rasa sedih kehilangan bayi pun belum hilang lagi, sekarang kami sekeluarga diuji pula dengan kehilangan rumah.
“Sebaik sampai, kami lihat api sudah marak membakar rumah. Suami hanya sempat mengalihkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan sebuah motosikal daripada kawasan tersebut. Mujur juga kunci kenderaan sentiasa ada bersama kami kalau tidak mungkin ia akan turut musnah dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, suaminya, Muhd Yusrizal Awang Ngah, 42, berkata, mereka hanya mampu melihat rumah tersebut musnah dijilat api tanpa sempat menyelamatkan barangan lain.
Menurutnya, kini dia dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas semua barangan dalam rumah tersebut musnah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 12.33 tengah malam.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah separa kekal dengan sebuah daripadanya musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan sekitar 10 peratus. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini dan api berjaya dikawal daripada merebak lebih besar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














