ASUNCION – Seorang juruterbang terbunuh, manakala beberapa mangsa lain cedera selepas pesawat membawa wang kertas denominasi dolar dan real untuk sebuah syarikat keselamatan terhempas di Paraguay, lapor akhbar The Irish Sun.
Pesawat jenis Cessna 402 itu membawa sekitar AS$5 juta (RM19.8 juta) dan berjuta-juta real untuk syarikat keselamatan, Prosegur. Ia dalam perjalanan ke Asunción dari Ciudad del Este, namun terhempas selepas berlepas.
Penduduk tempatan dilaporkan mengambil sebahagian wang tersebut ketika bangkai pesawat terbakar di bandar Minga Guazu.
Penyiasat berpendapat sekitar AS$1.3 juta (RM5.1 juta) dan R$4 juta (RM3.1 juta) masih hilang. Ia dipercayai dirompak oleh orang ramai yang tiba sejurus selepas pesawat itu terhempas.
Polis berkata, kira-kira 50 orang terlibat mencuri wang tersebut.
Laporan mendedahkan bahawa mereka melarikan wang kertas dalam tempoh 15 minit antara masa nahas dan ketibaan perkhidmatan kecemasan.
Juruterbang bernama Fernando Noldin terbunuh, manakala pembantunya dan dua lagi penumpang cedera.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan mencari wang kertas yang hilang. – AGENSI














