fbpx
PENGEMIS palsu dan penyeleweng duit dana orang ramai, kedua-dua mereka melibatkan penipuan atas dasar simpati orang ramai. - GAMBAR HIASAN

Pengemis kutip ratus, NGO kebas jutaan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap pemurah. Mudah untuk menghulurkan derma, apatah lagi apabila melihat pengemis cacat, ibu yang membawa anak kecil atau warga emas yang menagih simpati di jalanan.

Kita juga mudah untuk memberi sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan gerakan dakwah, kebajikan dan bantuan kemanusiaan, tanpa ragu-ragu.

Namun dalam keghairahan memberi, tidak semua daripada kita sempat menyemak ke mana wang itu akhirnya pergi. Ada yang tersentuh hati lalu terus menghulurkan wang tanpa bertanya latar belakang pengemis atau organisasi terbabit.

Rasa simpati mengatasi pertimbangan, sedangkan tidak semua yang meminta itu benar-benar susah.

Pengemis bukannya semua cacat. Ada yang hanya berlakon menjadi buta, dipimpin individu normal demi meraih simpati, malah tidak kurang menggunakan kanak-kanak sebagai ‘umpan’bagi menagih belas ihsan.

Lebih membimbangkan apabila terdapat sindiket yang mengatur pengemis, menetapkan lokasi dan mengutip hasil harian.

Perkara sama turut berlaku dalam dunia sumbangan kepada NGO atas pelbagai nama perjuangan. Tidak semua NGO telus kerana ada yang muncul hanya untuk mengambil kesempatan di sebalik sikap pemurah rakyat.

Ibarat sambil menyelam, minum air. Sambil mengutip sumbangan, masuk duit di dalam poket sendiri dengan menyeleweng dana yang diberikan orang ramai.

Pengemis palsu dan penyeleweng duit dana orang ramai, kedua-dua golongan ini melibatkan penipuan atas dasar simpati orang ramai, cuma cara serta skala berbeza.

Pengemis palsu melibatkan individu atau kumpulan kecil yang menipu orang ramai di jalanan secara terang-terangan dengan duit dihulur secara tunai. Setiap hari kutipan derma yang diraih ratusan ringgit.

Penyeleweng dana awam melalui NGO pula melibatkan jumlah yang besar sehingga jutaan ringgit, malah melibatkan ramai mangsa penderma dari seluruh negara yang kebanyakan menghulurkan sumbangan melalui perbankan online.

Pengemis palsu melakukan kegiatan mereka secara spontan dan tidak terancang, manakala penyeleweng NGO lebih sistematik dengan mempunyai struktur organisasi.

Tahap kepercayaan masyarakat kepada NGO terbabit lebih tinggi, tambahan pula jika individu yang menguruskan itu dikenali ramai dan nama organisasi tersebut terkenal.

Pengemis palsu tidak mudah cepat kaya dan masih hidup seperti orang susah, namun penyeleweng dana awam menikmati kemewahan luar biasa dengan memiliki kenderaan serta kediaman mewah dalam tempoh singkat.

Tindakan kedua-dua golongan ini adalah salah, tetapi penyelewengan dana melalui NGO lebih serius dari segi skala, kepercayaan yang dikhianati, menjejaskan ekosistem kebajikan dan merosakkan budaya saling membantu.

Kita bimbang selepas ini tiada lagi rakyat Malaysia yang mahu menghulurkan sumbangan kepada NGO kerana takut terus ditipu, tambahan pula semakin banyak kes penyelewengan dana awam berlaku di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN