fbpx
Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis perasmian Forum UPNM di katanya pada sidang akhbar di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Teknologi berdaulat agenda pertahanan negara, tidak bergantung sumber luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu memberi tumpuan serius kepada pembangunan teknologi tempatan khususnya dalam industri pertahanan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam peperangan moden yang dipacu kecerdasan buatan (AI) serta sistem siber, konsep kedaulatan negara kini tidak lagi terhad kepada sempadan fizikal semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, kedaulatan turut merangkumi keupayaan sesebuah negara untuk memiliki, mengawal dan membangunkan teknologi kritikal secara sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar.

“Kita mesti membangunkan teknologi berdaulat dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar. Institut seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan tempatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Forum UPNM sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kebergantungan kepada teknologi asing boleh mendedahkan negara kepada pelbagai risiko termasuk gangguan sistem, kawalan tidak langsung terhadap infrastruktur kritikal, serta ancaman keselamatan data strategik.

Menurut beliau, ia boleh memberi kesan besar terhadap kesiapsiagaan pertahanan negara sekiranya berlaku konflik, sekatan teknologi atau gangguan rantaian bekalan daripada pihak luar pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau berkata, universiti perlu melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kritikal seperti AI, keselamatan siber, sistem autonomi dan teknologi digital pertahanan.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara universiti, industri dan agensi kerajaan bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada keupayaan sebenar yang boleh digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Tambahnya, usaha membangunkan teknologi berdaulat bukan sekadar agenda pembangunan teknologi, tetapi merupakan asas penting dalam mempertahankan kedaulatan, kebebasan dan keselamatan negara dalam jangka panjang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN