fbpx
Tangkap layar kejadian tersebut yang terakam melalui CCTV.

[VIDEO] Lelaki rambut pink pecah rumah, lima minit lesap barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI — Dua lelaki bertopeng bertindak berani memecah masuk sebuah rumah di Taman Permai Jaya, Mantin di sini dan melarikan pelbagai barangan berharga dalam tempoh kira-kira lima minit, dalam kejadian tengah hari, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kejadian disedari seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an selepas pulang ke rumah pada kira-kira pukul 1.56 petang.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 12.05 tengah hari ketika rumah tidak berpenghuni. Pengadu mendapati kediamannya telah digeledah sebaik tiba di rumah,” katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, suspek melarikan barangan berharga termasuk barang kemas, dokumen penting dan wang tunai dengan anggaran kerugian sekitar RM120,000.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah kereta jenis Honda City Hatchback berwarna putih berhenti di hadapan rumah sebelum dua lelaki bertopeng keluar dari kenderaan dan memasuki premis.

“Suspek yang tidak bersarung tangan bertindak pantas dan keluar semula dalam tempoh kira-kira lima minit sambil membawa sebuah beg dipercayai berisi barangan curi,” katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan adalah palsu dan didaftarkan atas sebuah syarikat di Sungai Petani, Kedah.

“Pemeriksaan di lokasi turut mendapati pintu jeriji rumah diumpil hingga patah, manakala dua bilik tidur telah digeledah.

“Pasukan forensik berjaya memperoleh beberapa sampel cap jari serta swab ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk dianalisis bagi membantu mengenal pasti suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, “katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN