fbpx
Mimifly tidak dapat menahan sebak apabila persembahannya menerima 'standing ovation' daripada penonton pada Festival Muzik ASEAN-Korea 2026 (ROUND) di Filipina baru-baru ini.

‘Saya sebak, mengalir air mata dapat ‘standing O’ di Filipina’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyanyi Mimifly mengakui tidak dapat menahan sebak apabila persembahannya menerima ‘standing ovation’ daripada penonton pada Festival Muzik ASEAN-Korea 2026 (ROUND) di Filipina baru-baru ini.

Lebih membuatkannnya sebak, Mimifly atau nama penuhnya Shamimi Amalina Norhisham, 38, berkata, segala kos perbelanjaan untuk acara tersebut adalah dari duit poketnya sendiri.

“Saya bersama 27 penari menangis di belakang pentas selepas dapat ‘standing ovation’, semuanya bangun dan tepuk tangan selepas persembahan tamat.

“Satu stadium jerit nama ‘Mimifly’ dan buat saya sebak mendengar.

“Bila dapat maklum balas yang positif daripada penonton dan hasil persembahan hebat termasuk kesungguhan kesemua penari, saya rasa menyertai acara tersebut adalah keputusan yang tepat,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran lagu Asal Ada Kamu oleh Ceddy Ang, di A Quiet Place, di sini, baru-baru ini.

Mimi juga memberitahu tidak menyangka karya seni yang mengetengahkan bahasa Malaysia berjaya memukau penonton di sana.

“Keterujaan penonton antara yang membuatkan saya bertambah seronok sedangkan mereka tak kenal saya pun.

“Namun, sokongan mereka sangat jujur dan mereka tak faham pun apa yang saya nyanyi.

“Saya rasa kerja seni dihargai dan kalau orang cakap muzik itu menyatukan, itu memang benar-benar berlaku,” ujarnya.

Mimi juga mendedahkan usahanya untuk mencari penaja bagi membawa kesemua penarinya ke acara tersebut menemui jalan buntu membuatkan hanya mampu membawakan 10 penari sahaja dari Malaysia.

“Saya cari penaja tapi tak dapat dan tidak mampu nak bawa semua penari, terpaksa menggunakan khidmat penari di Filipina.

“Jadi pasukan saya terdiri dari 27 orang iaitu 15 dari Malaysia, 10 dari Filipina dan seorang dari Thailand.

“Apapun, saya sangat bangga dengan projek ini kerana mengangkat budaya Nusantara khususnya Malaysia di mata dunia,” kongsinya.

Dalam masa sama, dia juga mengambil inisiatif untuk mempelajari bahasa Tagalog untuk lebih mendekati peminat di sana.

“Saya belajar bersama Yazmin Aziz dan dia ajar menerusi WhatsApp.

“Syukur tidak begitu sukar dan itu antara ilmu yang jadi bekalan sepanjang berada di sana,” ujarnya lagi.

Pada festival tersebut, Mimi membuat persembahan selama 25 minit dengan menyampaikan lagu popularnya seperti Angkat dan Serumpun serta Nara, Euphoria dan Superfly.

Festival ROUND 2026 menghimpunkan karyawan seni muzik dari 10 negara ASEAN dan Korea bagi berkongsi muzik mereka dengan penonton global.

Sebelum ini, Dolla dan Marsha Milan pernah dipilih mewakili Malaysia, dan tahun ini hanya Mimifly dipilih menyertai program anjuran syarikat hiburan Korea, KBS World bersama ASEAN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN