SUBANG JAYA – Tindakan seorang lelaki tempatan menyarung vest dan helmet polis tanpa kebenaran demi menghasilkan kandungan video di TikTok membawa padah apabila diberkas polis, semalam.
Kejadian yang mencetuskan perhatian ramai itu dilaporkan berlaku pada 17 April lalu sebelum video berkenaan tular di media sosial, sekali gus mencemarkan imej pasukan keselamatan negara.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung video berkenaan pada 22 April sebelum bertindak menahan suspek di kawasan USJ.
“Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai memakai pakaian serta peralatan polis tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, lelaki berkenaan akan direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menggunakan pakaian seragam tanpa kebenaran, selain Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Katanya, turut disiasat melibatkan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik kandungan jelik di platform media sosial.
Sehubungan itu, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya menerusi talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














