KUALA LUMPUR – Skuad bawah 17 tahun (B-17) negara berada di kelas tersendiri untuk layak ke perlawanan akhir Kejuaraan B-17 Asean selepas menewaskan Laos 3-0 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, hari ini.
Skuad muda negara yang dibimbing oleh bekas kapten Harimau Malaya, Shukor Adan nyata bijak mengambil kesempatan dengan kelebihan seorang pemain sepanjang perlawanan ekoran layangan kad merah kepada pemain lawan, Bounthasak Chandala.
Skuad negara memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila Chandala dilayangkan kad merah seawal minit kelima hingga menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia.
Ahmad Yusuf Nasrullah Ahmad Ramli yang diberikan amanah untuk mengambil sepakan tidak mempersiakan peluang dan minit ke-11, skuad negara makin selesa apabila Muhammad Aniq Thaqif Hairulnizam menghasilkan gol kedua.
Pemain negara berjaya mencipta beberapa lagi peluang terbaik namun usaha diatur gagal menghasilkan tambahan jaringan untuk babak pertama berakhir 2-0.
Bersambung babak kedua, kelebihan dua gol tidak pernah memberi keselesaan buat pemain negara yang makin garang mengatur usaha hingga memperoleh jaringan ketiga menerusi Muzakif Fitri Muhamad pada minit ke-58.
Lawan skuad negara di final akan ditentukan malam ini yang menyaksikan Vietnam dan Australia akan membuat perhitungan dalam satu lagi aksi separuh akhir. – KOSMO! ONLINE














