PUTRAJAYA – Seorang pendakwah bebas direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan dan penyelewengan dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempat dia bekerja berjumlah RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.
Perintah reman sehingga 26 April ini dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Seremban di sini pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu yang juga pengerusi NGO berkenaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada September 2022 sehingga kini.
“Suspek dipercayai menyalahgunakan jawatan dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan wang RM12.3 juta ke dalam akaun bank dan lapan lagi syarikat miliknya,” katanya hari ini.
Sumber berkata, susulan siasatan itu, SPRM Negeri Sembilan membekukan 15 akaun terdiri daripada tiga akaun bank persendirian, tiga akaun NGO dan sembilan akaun syarikat berjumlah RM16.5 juta.
Pihak berkuasa turut menyita wang termasuk mata wang asing, tiga utas jam tangan bernilai RM5,000, tiga beg tangan (RM3,000) dan lima utas gelang tangan (RM26,000), sebentuk cincin (RM2,000), seutas rantai (RM7,000) dan 51 kepingan emas (RM31,000).
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














