TUMPAT – Pemilik bengkel memproses bakul bahagian lori yang diperbuat daripada kayu mengalami kerugian RM40,000 apabila lima buah mesin memproses kayu dan stok papan musnah dalam kebakaran di premis tersebut di Kampung Belukar, Wakaf Bharu di sini awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu menyebabkan sebahagian besar bengkel tersebut musnah apabila api merebak cepat membakar kayu dan papan di dalam premis berkenaan.
Pemilik bengkel, Azli Sham Aziz, 50, berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 3.30 pagi selepas sepupunya yang tinggal bersebelahan bengkel menyedari premis tersebut terbakar.
Menurutnya, dia yang tinggal di Bunut Susu, Pasir Mas bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan bengkelnya yang sudah beroperasi sejak 17 tahun lalu.
“Semasa tiba, saya lihat anggota bomba sedang memadam kebakaran melibatkan sebahagian bengkel. Nasib baik api tidak merebak ke tiga bakul lori bernilai kira-kira RM18,000 yang sedang dalam proses pembuatan.
“Kebakaran itu menyebabkan saya mengalami kerugian hampir RM40,000 melibatkan lima buah mesin memproses kayu dan sebahagian stok papan musnah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Azmi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.12 pagi dan api berjaya dikawal kira-kira sejam kemudian. Punca kebakaran masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.34 pagi. – KOSMO! ONLINE














