KOTA TINGGI – Operasi pembenihan awan selama dua hari berturut-turut akan dilakukan pada hari ini dan esok dalam usaha menangani gangguan bekalan air yang menjejaskan lebih 4,000 pengguna di Felda Lok Heng dan Felda Waha di sini.
Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil susulan keadaan kritikal paras Sungai Ulu Sedili Kecil yang merosot akibat cuaca kering berpanjangan.
Menurutnya, pelaksanaan pembenihan awan selama dua hari diputuskan selepas keadaan awan sebelum ini didapati tidak sesuai kerana terlalu nipis untuk menghasilkan hujan.
“Saya ingin maklumkan pada 22 dan 23 April, tindakan pembenihan awan akan dilakukan.
“Tarikh ini dipilih kerana sebelum ini didapati awan di kedua kawasan ini nipis dan tak sesuai untuk dilakukan pembenihan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, cuaca kering telah menyebabkan paras air Sungai Ulu Sedili Kecil merosot dengan ketara sehingga tidak lagi mampu menampung keperluan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng.
Mohamed Khaled berkata, pelbagai usaha mitigasi telah dilaksanakan sebelum ini oleh Kerajaan Negeri bersama pihak berkaitan, termasuk penggunaan air bawah tanah melalui telaga tiub serta percubaan pemindahan air dari Sungai Lukah. – KOSMO! ONLINE














