PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya terus menjadi bualan hangat apabila operasinya mencetuskan panik dalam kalangan penumpang pagi ini.
Masalah yang berlaku pada waktu puncak pukul 8.02 pagi tadi melibatkan sebuah tren dari arah Gombak ke Kelana Jaya yang dipercayai melakukan brek secara mengejut di beberapa lokasi.
Menerusi hantaran tular oleh pengguna Farahin_Atiqah di Threads berkata, dia mendakwa tren tersebut membrek secara tiba-tiba sehingga menyebabkan ada penumpang terjatuh.
“Brek mengejut sampai ada yang tergolek. Aku yang pegang (berpaut) tiang ini pun macam nak tercampak, apatah lagi yang berhimpit (berdiri),” katanya.
Situasi sama turut disokong seorang lagi pengguna, Illyanikhair yang berada dalam tren berlainan dalam perjalanan menuju ke stesen Ampang Park.
“Tadi tren saya naik pun brek mengejut nak sampai Ampang Park. Saya duduk berdekatan dengan pintu, nampak pintu terbuka sikit. Seram! Laluan Kelana Jaya selalu brek mengejut,” ujarnya.
“Harap tiada ibu mengandung yang terjatuh,” kata @intannjualtudung. – KOSMO! ONLINE














