fbpx
Rosli menunjukkan jenis-jenis ubi yang dijual di gerainya di Kea Farm, Cameron Highlands semalam.

Harga sayur Cameron naik sekali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CAMERON HIGHLANDS – Peniaga sayur di Kea Farm di sini mengakui terhimpit apabila terpaksa menyesuaikan harga jualan susulan kenaikan harga diesel yang memberi kesan langsung kepada kos operasi mereka.

Seorang peniaga, Shamala Devi, 55, berkata, harga sayur berdaun seperti sawi dan kailan mengalami kenaikan ketara kepada lebih RM4 berbanding RM2.50 sekilogram sejak dua minggu lalu.

“Sebelum ini harga sayur berdaun adalah sebanyak RM2.50 sekilogram, sekarang RM4.30. Itu baru sawi dan kailan, belum lagi tomato, terung dan lain-lain.

“Bagi menampung kos, saya tidak menaikkan harga jualan, sebaliknya mengurangkan kuantiti sayur. Sebelum ini RM10 boleh dapat 10 bungkus sayur, sekarang terpaksa dikurangkan kepada lima. Harga sayur kekal sama, cuma kuantitinya dikurangkan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Shamala berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan pe­langgan berasa terkejut dengan kenaikan harga mendadak selain memastikan perniagaannya te­rus dapat bertahan.

Kenaikan harga diesel turut menyebabkan kos penghantaran meningkat kerana kebanyakan sayur dihantar dari kebun di kawasan berbukit dan jauh.

“Dulu pembekal hantar bekalan dua kali sehari iaitu pagi dan petang, sekarang sekali sehari kerana kos bahan api yang tinggi,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Rosli Abu Bakar, 55, turut mengakui kenaikan diesel memberi kesan besar kepada operasi perniagaannya.

Katanya, bekalan seperti ubi dan jagung belum menunjukkan kenaikan ketara, namun dijangka naik dalam masa terdekat.

“Sebelum ini jika harga RM10 boleh beri diskaun (dijual) RM8, tetapi sekarang tidak boleh beri diskaun sebab kos sudah tinggi. Pengeluaran dari kebun juga makin terhad kerana peningkatan kos operasi di peringkat pe­ngusaha.

“Jika sebelum ini hantar setiap hari, sekarang seminggu sekali. Kalau habis stok, kami perlu ambil sendiri di kebun,” ujarnya.

Rosli berkata, situasi itu turut memberi kesan kepada jumlah jualan kerana peniaga tidak dapat menyimpan stok dalam kuantiti besar. Bilangan pengunjung juga berkurangan sekali gus menambah cabaran kepada golongan peniaga di kawasan tersebut.

“Biasanya dalam sehari tiga hingga empat kotak ubi keledek habis terjual, sekarang satu kotak pun susah terutama hari biasa. Saya harap pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk menstabilkan kos bahan api agar peniaga kecil di kawasan tanah tinggi tidak tertindas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN