BATU PAHAT – Perbuatan terkutuk seorang penjual pisang goreng mencabul adik iparnya yang sedang tidur dalam bilik berbalas selepas dia didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Yong Peng di sini hari ini.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang berusia berusia 31 tahun, rayuan serta fakta kes.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.
Bapa tiga anak itu melakukan perbuatan tersebut terhadap adik iparnya yang berusia 27 tahun di sebuah rumah dalam daerah ini pada pukul 2 pagi, 12 Februari lalu.
Oleh itu, dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.
Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis selepas diperlakukan demikian ketika sedang tidur di rumah kakaknya yang juga isteri tertuduh.
Semasa bertandang ke rumah kakaknya, tertuduh menyelinap masuk ke dalam bilik dan melakukan perbuatan terkutuk menyebabkan mangsa terjaga. Bertindak atas laporan, polis menahan tertuduh bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.-KOSMO! ONLINE














