fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Prebet didakwa amang seksual budak, simpan gambar lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang prebet tentera yang juga tunangan orang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak dan memiliki gambar serta video lucah dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Fudhail Fathollah Hamdan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Pemuda itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 11 tahun dengan menarik mangsa ke dalam rumah kosong, menolak ke dinding dan memaksa mereka membuka mulut.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 4.30 petang, 12 April lalu di sebuah rumah kosong di Kem Terendak, Sungai Udang di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh turut didakwa atas satu tuduhan memiliki pelbagai gambar dan video lucah yang disimpan dalam telefon bimbitnya ketika berada di Pejabat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak pada 13 April lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi semua pertuduhan.

Peguam Amritpal Singh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya akan menamatkan zaman bujang pada penghujung tahun ini dan jaminan akan dibuat keluarganya yang kurang berkemampuan.

Raja Noor Adilla membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 selain mengarahkan lelaki itu supaya tidak mendekati mangsa yang juga saksi pendakwaan, melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan menetapkan 26 Mei untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN