KULIM – Kejadian tular seorang lelaki yang terjatuh dari motosikal akibat ditarik anggota polis berlaku selepas suspek disyaki melarikan diri ketika ditahan di Jalan Sungai Ular, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd. Faisal Tengku Yeng berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular di media sosial berdurasi 29 saat yang memaparkan kejadian melibatkan anggota polis dan seorang suspek berusia 32 tahun.
“Kejadian tersebut dipercayai berlaku di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim.
“Dalam rakaman video itu, seorang suspek dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota terbabit,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah bertindak menahan suspek di Jalan Sungai Ular, di sini.
“Semasa ingin ditahan, telah berlaku pergelutan apabila suspek bertindak melawan anggota dengan menendang motosikal milik anggota polis sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal secara melulu, melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Selepas itu, dalam jarak kira-kira lima kilometer, anggota polis berjaya mengesan dan menahan suspek di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra,” ujarnya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap motosikal yang ditunggang suspek menemukan dua bungkusan plastik lut sinar disyaki mengandungi air rebusan daun ketum.
“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Hasil ujian saringan awal air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














