PETALING JAYA – Paras air sungai di beberapa kawasan di Selangor dilaporkan meningkat susulan hujan berterusan sejak petang tadi.
Menerusi laman web Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor, bacaan terkini menunjukkan paras air di Taman Mayang, Petaling mencecah 18.01 meter, melepasi paras bahaya 18 meter dengan trend terus meningkat.
Di Kuala Selangor, paras air di Pintu Air Ijok pula mencatatkan bacaan 3.34 meter, melebihi paras amaran 3.1 meter, namun trend dilaporkan tidak berubah.
Sementara itu di Klang, bacaan paras air di Taman Sri Muda berada pada tahap normal iaitu 0.98 meter, namun menunjukkan trend menaik.
Dalam perkembangan berkaitan, siren amaran banjir di Taman Sri Muda diaktifkan pada pukul 5.06 petang, manakala di Bukit Rimau, isyarat bahaya dilaporkan telah berakhir pada pukul 5.13 petang.
Bagaimanapun, di Gombak, stesen Sungai Choh mencatatkan isyarat bahaya bermula pukul 5 petang. – KOSMO! ONLINE














