Sebelum teknologi mendominasi gaya hidup masa kini, pelabur perlu melalui pelbagai proses seperti meneliti laporan kewangan, menyediakan analisis carta dan mengikuti perkembangan berita berkaitan syarikat bagi menilai keupayaan serta prestasi pelaburan.
Situasi itu berbeza apabila kecerdasan buatan (AI) mula menjadi sebahagian komponen penting dalam dunia pelaburan moden, khususnya di pasaran saham yang sentiasa berubah dan kompleks.
Kelebihan itu memberi manfaat kepada pelabur untuk memahami data dengan lebih mendalam dan mempercepatkan proses membuat keputusan melalui analisis yang lebih sistematik berasaskan algoritma.
Menurut The Motley Fool, keupayaan itu membolehkan sejumlah besar maklumat dapat diproses dalam tempoh masa singkat, selain melihat AI sebagai antara medium berpengaruh dalam mengatur strategi pelaburan masa kini.
“Salah satu peranan utama AI dalam pelaburan ialah menganalisis data pasaran secara menyeluruh dan data tersebut selalunya hadir dalam jumlah yang sangat besar setiap hari.
“Pelbagai perkara termasuk harga saham, volum dagangan, laporan kewangan syarikat dan berita ekonomi global. AI menggunakan teknik seperti pembelajaran mesin (machine learning) untuk menilai data dan mengenal pasti corak tertentu bagi meramal pergerakan harga saham.
“Melalui pendekatan ini, pelabur dapat memperoleh pandangan yang lebih jelas tentang potensi sesuatu pelaburan dengan mudah dan cepat,” lapor portal berkenaan.
Selain analisis data, AI juga digunakan dalam strategi perdagangan automatik (algorithmic trading) iaitu sistem komputer yang dipacu oleh teknologi tersebut untuk melaksanakan transaksi jual beli saham secara automatik berdasarkan parameter ditetapkan.
Tentu sahaja kelebihan ini membolehkan perdagangan dilakukan pada kelajuan tinggi dan tanpa campur tangan emosi manusia saat membuat keputusan.
“Dalam pasaran yang bergerak pantas, kelebihan ini amat penting kerana peluang keuntungan boleh muncul dan hilang dalam tempoh masa yang singkat,” katanya lagi.
AI juga memainkan peranan dalam pengurusan portfolio melalui penggunaan robo-advisor agar pelabur boleh mendapatkan cadangan pelaburan yang disesuaikan dengan profil risiko dan matlamat kewangan mereka.

Sistem ini akan memantau prestasi portfolio secara berterusan dan membuat pelarasan apabila perlu bagi memastikan pelaburan kekal sejajar dengan strategi asal.
Menurut Trading School, AI menjadikan proses pelaburan menjadi lebih mudah dan sistematik terutama bagi individu yang kurang berpengalaman dalam pasaran saham.
Katanya, AI mampu menilai ribuan sumber maklumat seperti berita, laporan kewangan dan media sosial untuk memahami persepsi umum terhadap sesuatu saham atau sektor.
“Sentimen ini sering mempengaruhi pergerakan harga dalam tempoh jangka pendek dan dengan bantuan AI juga pelabur boleh bertindak lebih cepat terhadap perubahan tersebut.
“Ini memberi kelebihan kompetitif kepada mereka yang menggunakan teknologi ini berbanding pelabur tradisional,” lapornya.
Walaupun AI menawarkan pelbagai manfaat, terdapat juga beberapa risiko yang perlu diambil kira agar keputusan dapat dibuat dengan lebih rasional.
Salah satunya ialah kebergantungan kepada data sejarah yang mungkin sukar untuk mencerminkan keadaan masa hadapan secara tidak langsung akan menjejaskan keputusan.
Pasaran saham juga dipengaruhi oleh faktor luar jangka seperti perubahan dasar kerajaan, krisis ekonomi atau kejadian global yang tidak dapat diramal sepenuhnya oleh algoritma.
“Penggunaan AI secara meluas dalam perdagangan automatik juga boleh meningkatkan turun naik pasaran sekiranya banyak sistem bertindak balas terhadap isyarat yang sama serentak.
“Bukan semua pelabur mempunyai akses kepada teknologi AI yang canggih, sekali gus mewujudkan jurang antara pelabur institusi dan pelabur runcit (perseorangan),” ujarnya.
Melihat kepada itu, secara ringkasnya AI telah mengubah landskap pelaburan dengan menyediakan alat yang lebih pintar dan efisien untuk menganalisis pasaran serta membuat keputusan, meskipun masih kurang mampu menggantikan sepenuhnya peranan manusia.
Bagaimanapun, AI memainkan peranan sebagai sokongan penting dalam meningkatkan ketepatan dan keberkesanan strategi pelaburan masa kini.














