MENDUNIA dengan drama Taxi Driver, Lee Je-hoon bukan sepotong nama yang asing dalam dunia hiburan Korea Selatan. Jika disenaraikan aktor papan atas di Korea, Je-hoon salah seorang daripadanya.
Tidak pernah terpalit sebarang kontroversi, dia bahkan antara selebriti paling disenangi peminat di negara kelahirannya. Mana tidaknya, dia sentiasa mengutamakan peminat yang menzahirkan sokongan sepanjang lebih dua dekad bergelar pelakon.
Buktinya, dia tidak berhenti melafazkan terima kasih pada acara Lee Je-Hoon Fan Meeting Our 20th Moment di Zepp KL baru-baru ini.
Akui aktor berusia 41 tahun itu, dia tidak menyangka dikenali ramai sehingga mempunyai kelab peminat iaitu Hoonist Malaysia.
“Saya sentiasa mahu bertemu peminat di Malaysia. Walaupun saya bukan seorang artis yang ‘cool’, kalian tetap sanggup mencuri masa pada hujung minggu untuk bertemu saya.
“Saya terlalu gembira, tiada kata-kata yang boleh diucapkan untuk kalian semua. Terima kasih sentiasa beri sokongan untuk drama Taxi Driver dan saya juga baru tahu saya digelar ‘abang teksi’ di sini,” katanya.
Mahu sentiasa bertemu peminat, dia minta semua yang hadir mendoakannya diberi lebih banyak projek menarik sekali gus berpeluang meraikannya bersama di sini.
“Kalian doakan saya dapat muncul dalam berpuluh-puluh karya hebat lain dan kita akan berseronok serta meraikannya bersama satu hari nanti.
“Tidak mengapa kalau kalian meminati artis Korea lain tetapi saya yakin akan buat kalian terus suka kepada saya.
“Saya doakan semua sihat, jangan sakit! Harap semua perkara baik berlaku kepada kita dan dapat bertemu lagi, abang teksi sayang kalian!” ujarnya.
Dalam pada itu, Je-hoon juga menzahirkan rasa syukur kerana dirinya masih lagi diterima peminat biarpun sudah 20 tahun berada dalam industri seni.
“Saya juga rasa tidak percaya sudah 20 tahun berada dalam dunia hiburan.
“Keberadaan saya dalam industri ini adalah disebabkan sokongan semua, tanpa kalian saya tidak akan berada di sini,” ujarnya.
Dalam acara sama, Je-hoon turut melahirkan keterujaan menikmati pelbagai hidangan popular tempatan sepanjang beberapa hari berada di Malaysia termasuk nasi lemak, roti canai dan karipap yang menurutnya mempunyai rasa autentik.
“Saya rasa nasi lemak antara hidangan yang semua orang harus cuba apabila datang ke Malaysia.
“Malaysia negara syurga makanan,” katanya lagi.
Pada acara tersebut, Je-hoon turut mencuri perhatian ramai apabila terjun dari pentas utama semata-mata mahu mendekati para peminat yang hadir.
Dia juga sempat mendendangkan tiga lagu termasuk Beautiful yang merupakan runut bunyi drama popular, Goblin yang dibintangi Gong Yoo dan Kim Go-eun dan Lee Dong-wook.














