ALOR GAJAH – Pemandu bas ekspres yang klip videonya memandu secara berbahaya dengan memegang stereng sebelah tangan dan tular di media sosial sejak Khamis lalu, sudah ditahan polis.
Penahanan lelaki berusia 53 tahun itu dibuat ketika dia hadir memberikan keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah pada tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, suspek berusia 53 tahun itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah, tengah hari tadi.
“Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Selasa mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Tambah beliau, hasil semakan awal mendapati bas ekspres itu dipercayai milik sebuah syarikat pengendali bas yang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.
“Lokasi kejadian dipercayai di Kilometer 196.1 arah selatan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti butiran lengkap insiden tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














