KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada Universiti Malaya (UM) untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung persembahan teater yang didakwa mempunyai unsur tidak senonoh, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung perkara itu daripada UM.
“Saya kira (kejadian) lebih kepada kekhilafan dan mungkin mereka teruja untuk mempamerkan seni itu sehingga mungkin terkhilaf dari segi sensitiviti.
“Apa juga yang dilakukan, pihak universiti perlu sentiasa sensitif sebab kita lihat karya anak muda kadang mereka teruja dan tiada niat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan dalam memberi bimbingan dan nasihat kepada pelajar agar lebih peka terhadap batasan dalam berkarya.
Katanya, walaupun kreativiti dalam kalangan anak muda perlu digalakkan, ia tetap perlu selari dengan nilai budaya ketimuran yang menjadi teras masyarakat negara ini.
Sebelum ini, UM menerusi kenyataan memohon maaf atas kekhilafan serta sebarang kegusaran yang timbul susulan pementasan teater oleh pasukan teater kolej yang didakwa memaparkan unsur tidak senonoh hingga tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE














