ROMPIN – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang dilanggar dari belakang oleh kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum diseret sejauh 59 meter di Jalan Ibam – Rompin berhampiran Kampung Bangkong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 pagi itu, mangsa, Kairol Ismail, 37, tercampak sejauh 37 meter, manakala kereta jenis Perodua Alza terbakar.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, semasa kejadian, kedua-dua kenderaan tersebut dari arah sama dari Ibam menghala ke Rompin.
“Setibanya di lokasi kejadian, MPV Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 69 tahun terlanggar belakang motosikal mangsa.
“Akibatnya, penunggang motosikal cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu MPV pula tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu MPV sehingga menyebabkan kemalangan. – KOSMO! ONLINE














