PETALING JAYA – Seorang anak yatim dari Kampung Pok Keral, Tumpat mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama dari kampung itu yang berjaya melanjutkan pengajian ke Jerman dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
Pencapaian Ahmad Azzawajiri atau Zawa itu turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini membantu membuka laluan pendidikan buat pelajar berkenaan.
Menerusi satu hantaran di laman media sosial, Asyraf Wajdi berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan keluarga, malah menjadi simbol harapan baharu buat masyarakat luar bandar bahawa ilmu mampu mengubah kehidupan.
“Ingat Zawa ya, satu cara sahaja nak balas jasa Umi dan nak ubah kehidupan keluarga, hanya dengan ilmu, insyaAllah!” Katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan akademik perlu seiring dengan pegangan agama yang kukuh terutama ketika berada di luar negara.
“Kalau sembahyang tak tinggal, Quran tak tinggal, asas tu yang akan jadi jati diri. Tahajjud kena buat, Tuhan dah bagi macam-macam nikmat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan Zawa agar memanfaatkan peluang menimba ilmu serta meningkatkan penguasaan bahasa dengan bergaul bersama masyarakat tempatan di Jerman.
Tambahnya, prospek kerjaya juga cerah memandangkan terdapat ratusan syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia.
Terdahulu, Zawa yang kehilangan bapa sejak kecil berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM sebelum melanjutkan pengajian di German-Malaysian Institute (GMI) dengan pencapaian semua A termasuk Bahasa Jerman peringkat B1.
Beliau dijangka berlepas ke Jerman bagi menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di bawah tajaan Mara. – KOSMO! ONLINE














