fbpx
HASNAH mengemas barang keperluan untuk dibawa bagi menunaikan haji di rumahnya di Kampung Sanglang, Pontian baru-baru ini.

Isteri sedih, majikan tolak cuti suami pergi haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Seorang wanita warga emas sayu apabila terpaksa menunaikan haji bersendirian selepas suaminya tidak mendapat pelepasan cuti daripada majikan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Hasnah Ahmad, 60, berkata, pada mulanya dia bersyukur selepas rayuannya untuk menunaikan haji pada tahun ini diluluskan oleh Tabung Haji (TH), namun bertukar sebak apabila mendapat tahu pasangannya, Rahman Hassan, 62, tidak dapat ikut serta ke Tanah Suci.

Katanya, suaminya yang bekerja di sektor swasta tidak dibenarkan bercuti selama 45 hari bagi menemaninya ke Mekah.

“Sedih memang ada, tetapi sa­ya reda kerana ini adalah panggilan daripada Allah. Saya anggap ini rezeki dan peluang yang tidak boleh dilepaskan.

“Saya berasa sangat bersyukur apabila permohonan diluluskan walaupun per­lu membayar kos sebanyak RM33,300 berbanding RM15,000 bagi jemaah biasa (B40),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sanglang, di sini baru-baru ini.

Katanya, dia mula ‘menyimpan’ hasrat untuk menunaikan haji sejak tahun 2016 selepas mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM15,000.

“Ketika itu saya sudah berniat, wang tersebut tidak akan digunakan untuk keperluan lain, sebaliknya disimpan khas untuk ke Tanah Suci pada suatu hari nanti,” ujarnya.

Tambahnya, baki kos haji berjaya dikumpulkan dengan bantuan ahli keluarga selepas simpanannya di TH tidak mencukupi.

Bekas pekerja kilang itu kini membantu keluarga dengan ­bekerja di sebuah kedai menjahit di Pekan Sanglang.

Menurut Hasnah, dia dija­dualkan berlepas ke Mekah pada 7 Mei ini dan pulang ke tanah air pada 19 Jun, dengan tempoh berada di sana selama 45 hari.

Walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci tanpa pengalaman menunaikan umrah sebelum ini, Hasnah berkata, dia yakin ilmu yang dipelajari menerusi 12 siri kursus haji boleh membantunya dalam menunaikan ibadah.

“Saya turut mengikuti kursus di Masjid Temenggong Daeng Abdul Rahman di Benut serta kursus haji perdana di Johor Bahru baru-baru ini bagi mempersiapkan diri,” katanya.

Ibu kepada lima cahaya mata itu juga berharap agar segala urusan ibadahnya dipermudahkan oleh Allah serta memperoleh haji mabrur.

“Seperti bakal haji lain, saya sangat terharu dan bersyukur kerana diberi peluang untuk menunaikan haji.

“Ramai lagi kini yang masih menunggu giliran untuk ke Tanah Suci.

“Saya berdoa agar perjalanan pergi dan pulang nanti selamat serta segala ibadah diterima ­Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Hasnah turut mendoakan agar konflik di Asia Barat berakhir supaya umat Islam dapat beribadah dalam suasana aman dan selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN