fbpx

284 jemaah haji Malaysia tiba di Madinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADINAH – Seramai 284 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah hari ini sebagai kumpulan pertama (KT01) bagi musim haji 1447H/2026M.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada pukul 8.21 pagi waktu tempatan menandakan bermulanya perjalanan suci sebagai tetamu Allah selepas melalui tempoh penantian dan persediaan panjang.

Kesemua jemaah berkenaan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.09 pagi waktu Malaysia sebelum tiba di Hotel Emaar Royal, Madinah kira-kira pukul 9.45 pagi (waktu tempatan).

Rombongan jemaah disambut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman bersama Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Ridzuan Wahi serta Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Radin Adi Hilmi.

Turut hadir barisan pengurusan kanan dan petugas Tabung Haji (TH) yang telah bersiap siaga lebih awal bagi memastikan setiap jemaah disantuni dengan sebaiknya.

Menurut Syed Mohamad Bakri, segala persiapan telah dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.

“Mewakili Kerajaan Malaysia dan TH, saya ingin merakamkan rasa syukur atas ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Madinah.

“Ini adalah hasil perancangan rapi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta komitmen berterusan TH dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memuji komitmen petugas TH dalam memastikan jemaah bukan sahaja selesa dari segi kebajikan, malah dibimbing bagi mencapai haji yang mabrur.

Sepanjang enam hari di Madinah, para jemaah akan mengikuti program yang telah diatur termasuk ziarah ke Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW, Raudhah serta lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Madinah.

Terdapat dua lagi penerbangan kumpulan jemaah haji akan tiba di Madinah pada hari ini iaitu KT02 seramai 284 orang jemaah, dijangka tiba pada pukul 2.10 petang dan KT03 seramai 357 orang pada pukul 9.10 malam waktu tempatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN