BUNYI gemercik air terjun yang mengalir dari celahan batu di tengah hutan mewujudkan suasana damai dan menenangkan. Nuansa alam semula jadi itu menjadikan pengalaman makan malam di Kopi Village 24, Taman Desa Melawati, Kuala Lumpur berbeza dengan kedai lain.
Bukan sahaja golongan Gen Z yang mencintai atmosfera seperti ini, bahkah mereka berkeluarga turut tidak melepaskan peluang untuk merasai keindahan alam di kafe berkonsepkan santai ala perkhemahan itu.
Siapa sangka di celahan hutan batu di ibu kota, tersembunyi sebuah kafe yang menjadi ‘port lepak’ bersama teman atau keluarga bermula dari pukul 6.30 petang hingga 2 pagi.
Beroperasi setiap hari kecuali Selasa, Kopi Village 24 menawarkan sajian lokal dan Barat yang menjadi kegemaran ramai seperti set nasi asam pedas dengan variasi ikan pari, ikan kembung, ayam atau daging.
Menurut Pengurus Kopi Village 24, Muhammad Ammarul Aufa Rozzizam, premis yang dimilik oleh Nor Hayati Chong Omar itu menggunakan pes asam pedas yang dihasilkan sendiri di rumah.
Tanpa menggunakan kaedah segera, hidangan akan disediakan segar mengikut pesanan pelanggan, sekali gus menjadikannya kaya rasa dan autentik.
“Boleh dikatakan 70 hingga 80 peratus pelanggan kafe ini terdiri daripada golongan Gen Z yang gemar meluangkan masa bersama rakan-rakan terutama pada hujung minggu.

“Menu ‘kill’ kami di sini adalah asam pedas yang mendapat sambutan hangat dan rata-rata memberikan komen positif.
“Pelanggan juga boleh memesan maggi asam pedas sekiranya inginkan hidangan yang lebih sederhana tanpa nasi.
“Selain itu, hidangan Barat seperti chicken chop dengan kuah lada hitam, antara menu laris di kedai kami.
“Kuah lada hitam dihasilkan sendiri dengan olahan istimewa hingga menjadikan menu ini popular dalam kalangan penggemar kami,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Pelbagai pilihan menu lain seperti salted egg chicken dan buttermilk chicken bersama nasi, spaghetti bolognese, aglio olio, smash burger beef, Swedish meatball dan maggi kari.
Makanan ringan yang boleh dijadikan kudapan saat berbual turut disediakan seperti chili beef nachos, cheezy wedges dan fries mama (pedas).
Kafe itu mengamalkan konsep ala carte sepenuhnya tanpa set hidangan bagi memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memilih menu mengikut selera masing-masing.

Aspek kemudahan diutamakan kerana kafe itu menyediakan ruang parkir, tandas dan surau bagi keselesaan pengunjung terutama mereka yang meluangkan masa sehingga lewat malam.
Kehadiran empat ekor angsa jinak di sungai berhampiran kafe menjadi tarikan unik, sekali gus bertindak sebagai ‘pengawal keselamatan’ kerana akan mengeluarkan bunyi yang kuat setiap kali pelanggan tiba.
Angsa tersebut sangat jinak dan tidak mengganggu, malah kehadiran haiwan itu secara tidak langsung menambah elemen desa yang autentik.
Sesuai dengan namanya Kopi Village 24, beberapa pilihan minuman seperti espresso, Americano, latte, cappucino dan mocha.
Terdapat juga minuman pilihan lain yang menjadi signatur Kopi Village 24 iaitu buttercream latte, strawberry matcha dan Alaska coffee.
Bagi minuman bukan kopi pula, kafe berkenaan menawarkan seleksi seperti coklat, teh lemon, matcha latte dan strawberry milk, epal asam boi, sparkling blue sea dan sparkling summer (passionfruit).














