PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur serta merakamkan ucapan tahniah kepada jemaah haji Malaysia yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima tahun ini.
Beliau berkata, kumpulan pertama jemaah telah memulakan perjalanan ke Tanah Suci seawal pagi tadi bagi menyahut panggilan suci ke Baitullah.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan tahniah kepada jemaah haji Malaysia yang telah terpilih untuk menyahut panggilan suci ini.
“Ibadah haji adalah perjalanan agung yang menuntut pengorbanan, keikhlasan, kesabaran serta ketakwaan yang tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa mendoakan agar semua jemaah dipermudahkan segala urusan sepanjang berada di Tanah Suci.
“Saya mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dikurniakan kesihatan yang baik serta dilindungi sepanjang menunaikan ibadah.
“Mudah-mudahan mereka memperoleh haji mabrur, yang tiada balasan melainkan syurga, serta pulang ke tanah air dengan keberkatan dan keinsafan,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kumpulan pertama yang terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci awal pagi tadi.
Ia sekali gus menandakan bermulanya operasi haji 1447H/2026M secara rasmi hari ini.
Kumpulan pertama itu terdiri daripada 141 jemaah dari stesen berlepas Alor Setar, Kedah dan 143 dari stesen Sepang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050.
Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 7.50 pagi waktu Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE














