PUTRAJAYA- Kerajaan mengumumkan kenaikan kadar bantuan Program Tanam Semula Getah bagi Semenanjung Malaysia daripada RM13,710 sehektar kepada RM20,000 sehektar, iaitu peningkatan sebanyak RM6,290 sehektar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar bantuan itu turut dinaikkan bagi negeri Sabah iaitu daripada RM14,955 sehektar kepada RM23,000 sehektar, iaitu peningkatan sebanyak RM8,045 sehektar.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kadar bantuan negeri Sarawak pula telah diumumkan pada bulan lalu dengan kadar baharu RM23,000 sehektar berbanding kadar lama RM14,805.
Katanya, sepanjang tempoh RMKe-13, inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 33,000 orang pekebun kecil getah dengan sasaran keluasan tanam semula sebanyak 50,000 hektar, atau purata 10,000 hektar setahun.
“Kadar baharu ini akan mula dilaksanakan bermula tahun ini melalui pembayaran secara lima ansuran yang lebih praktikal bagi membantu pekebun kecil mengurus pembangunan kebun secara lebih terancang dan berkesan.
“Langkah ini juga bertujuan mengurangkan beban kos permulaan yang menjadi kekangan utama kepada pelaksanaan tanam semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, keputusan ini dibuat setelah meneliti secara menyeluruh peningkatan kos pembangunan kebun serta keperluan sebenar di peringkat lapangan, berikutan suasana ekonomi global yang masih tidak menentu serta peningkatan kos input pertanian yang semakin menekan.
Dalam jangka panjang, katanya, usaha ini diunjurkan mampu membantu pekebun kecil memperoleh pendapatan sekitar RM4,700 sebulan sekeluarga melalui hasil getah dan aktiviti ekonomi yang lain.
“Saya melihat kenaikan kadar ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk terus membela, memperkasa dan memartabatkan masyarakat pekebun kecil getah yang menjadi tulang belakang ekonomi desa dan luar bandar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














