MELAKA – Seorang lelaki bertindak agresif dengan mengugut mahu membakar kenderaan pacuan empat roda miliknya selepas ia disita dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Selasa lalu.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, tindakan sitaan itu dibuat selepas pemandu terbabit dikesan tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati kenderaan itu tidak mempunyai perlindungan insurans, selain Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh.
“Makluman awal mendapati cukai jalan pacuan empat roda berkenaan sudah luput dan tidak diperbaharui selama lapan tahun.
“Pemeriksaan lanjut turut mengesahkan pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu menyebabkan kita mengeluarkan saman dan menyita kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, ketika tindakan sitaan dilakukan, lelaki terbabit bagaimanapun telah menghubungi rakannya untuk mendapatkan minyak petrol dengan tujuan membakar kenderaan berkenaan.
“Keadaan menjadi semakin tegang apabila seorang penumpang yang juga rakannya turut campur tangan mengugut dan mendakwa dirinya bekas tahanan.
“Namun, keadaan berjaya dikawal anggota JPJ yang menggunakan pendekatan profesional dan berhemah hingga meredakan kemarahan kedua-dua individu terbabit sebelum mereka akhirnya akur dengan tindakan diambil,” katanya.
Siti Zarina berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang insiden berkenaan dan kenderaan terbabit kemudian dibawa ke depoh sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE














