PETALING JAYA – Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.3 peratus bagi tempoh suku pertama tahun ini, menyederhana berbanding pertumbuhan 6.3 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya, berdasarkan laporan Anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Awalan yang diterbitkan Jabatan Perangkaan, hari ini.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, prestasi ekonomi Malaysia untuk tiga bulan pertama tahun ini mencerminkan ekonomi yang kekal berdaya tahan secara asasnya, meskipun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat, khususnya kenaikan harga minyak berikutan ketegangan geopolitik.
Jelasnya, sektor pembuatan mengekalkan momentum positif dalam dua bulan pertama 2026, dengan pengeluaran berkembang masing-masing sebanyak 7.3 peratus dan 4.2 peratus, didorong terutamanya oleh industri berorientasikan eksport.
“Perbelanjaan bermusim sempena Tahun Baru Cina, di samping persiapan menjelang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, terus menyokong aktiviti ekonomi keseluruhan.
“Faktor ini, seiring dengan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (Sara) serta pelaksanaan fasa kedua semakan gaji penjawat awam, menyumbang kepada pertumbuhan yang stabil dalam jualan perdagangan borong dan runcit, yang meningkat sebanyak 7.3 peratus pada Januari dan 5.3 peratus pada Februari 2026.
“Dari sudut luaran, aktiviti perdagangan kekal disokong oleh pengembangan berterusan dalam kedua-dua eksport domestik dan eksport semula,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan daripada anggaran awalan, KDNK preliminari yang menyediakan analisis terperinci dan komprehensif mengenai prestasi ekonomi bagi suku tahun pertama 2026 akan diterbitkan pada 15 Mei 2026. – KOSMO! ONLINE














