PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak hingga pukul 1 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Perak (Bagan Datuk dan Hilir Perak) dan Pahang (Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang) dan Negeri Sembilan (Port Dickson),” lapor MetMalaysia.
“Selain itu, kawasan yang dijangka turut terjejas adalah seluruh Melaka serta Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian),” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu di Sarawak, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Kuching, Samarahan dan Sri Aman.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE













