PETALING JAYA – Pendakwah bebas, PU Rahmat Ikhsan menegur tindakan segelintir pihak yang melabel sebuah universiti terkemuka sebagai “Universiti Maksiat” susulan isu teater yang tular, dengan menyifatkan gelaran itu sebagai keterlaluan.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, PU Rahmat berkata, institusi berkenaan masih mempunyai banyak program berilmu yang melahirkan golongan cendekiawan, khususnya melalui Akademi Pengajian Islam (API).
“Melabel UM sebagai universiti maksiat adalah keterlaluan, masih banyak program berilmu dan API adalah lubuk atau rahim melahirkan ramai cendekiawan,” katanya.
Dalam masa sama, dia menegaskan insiden tersebut wajar dijadikan sebagai peringatan kepada pihak universiti untuk menilai semula dasar dan pemantauan.
“UM wajar mengambil kes ini sebagai ‘wake-up call’ dan mengubah polisi,” ujarnya.
Dia turut mengingatkan agar masyarakat tidak terlalu cepat menghukum sehingga menjejaskan keseluruhan reputasi institusi pendidikan itu.
“Sedikit kesalahan jangan meruntuhkan segala kebaikan. berpada-padalah wahai umat kerana kita umat bukan nabi yang maksum,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi dilontarkan oleh para netizen terhadap hantaran tersebut.
Seorang pengguna, @Aleezmil berpendapat label tersebut timbul susulan kes berulang melibatkan aktiviti seni dan teater yang didakwa melampaui batas.
“Rasanya label universiti maksiat tu tercetus sebab kes berulang, bukan pertama kali jadi dan tegur. Kos seni budaya dan teater ni paling mudah terdedah dengan aksi atau idea yang melampaui batas,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Mariyareads90 mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu cepat menghukum tanpa menegur dengan cara yang betul.
“Yang salah, tegurlah pada medan yang sepatutnya bukan dicaci maki, dicela seolah-olah diri kita tidak pernah berbuat kesilapan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














