fbpx
AHMAD SHABERY (tiga dari kiri) ketika melawat Kilang FGV Biotechnologies Sdn Bhd di Kuantan hari ini.

Hasil sawit negara cukup untuk hasilkan biodiesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Pengeluaran sawit negara mencukupi bagi menghasilkan biodiesel B100 bagi menggantikan penggunaan diesel konvensional.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ketika ini negara menghasilkan 20 juta tan sawit setahun dengan enam juta tan digunakan untuk industri makanan, manakala selebihnya dieksport.

“Jika kita mahu menggantikan diesel kepada biodiesel sepenuhnya, kita memerlukan sekitar lima hingga enam juta tan sawit setahun, bermakna jumlah itu lebih dari mencukupi,” katanya.
“Bagaimanapun negara berdepan kekangan untuk menghasilkan biodiesel secara skala besar berikutan kekurangan loji pemprosesan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat eksklusif mengenai Projek Perintis Pelaksanaan Biodiesel B100, di sini, hari ini

Menurutnya, bagi menggalakkan penambahan loji ia memerlukan kos yang tinggi selain mengambil masa yang lama selain bergantung kepada dasar kerajaan.

Justeru katanya, dalam situasi krisis semasa, insentif percukaian dilihat antara pendekatan paling mudah dan berkesan berbanding pemberian geran atau sumbangan untuk pembinaan loji bagi mempercepat penggunaan biodiesel.

Dalam pada itu katanya, projek perintis pelaksanaan biodiesel B100 yang dilaksanakan FGV Holding Berhad (FGV) merupakan satu langkah strategik dalam memperkasakan agenda kelestarian negara menerusi penggunaan bahan api bersih.

“Inisiatif ini bukan sahaja menjanjikan penjimatan kos operasi, malah dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import serta memacu permintaan domestik bagi minyak sawit mentah.

“Tetapi di Felda, kita tidak menunggu dasar kerajaan semata-mata, sebaliknya akan memulakan penggunaan biodiesel B100 dalam ekosistem sendiri,” katanya.

Ujarnya, pelaksanaan penggunaan biodiesel B100 bagi kenderaan, jentera dan mesin dalam ekosistem Felda akan dimulakan di Kuantan iaitu kawasan yang berdekatan dengan kilang biodiesel FGV. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN