fbpx

‘Sewa rumah bil elektrik lama tertunggak, kami hampir dihalau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sakit hingga tidak mampu bekerja, pelakon Norish Karman terkilan apabila masih ramai pihak tidak mempercayai situasi sulit yang dilaluinya bersama lapan orang anak berikutan masalah kewangan.

Norish atau nama sebenarnya, Nor’Ashikin Karman, 52, berkata, kehidupannya disangka mewah menyebabkan timbul tuduhan mereka sekeluarga sanggup menipu demi meraih simpati.

“Kehidupan kami berubah sepenuhnya selepas fasa Covid-19. Perniagaan saya terpaksa ditutup. Sebagai ibu tunggal, saya diuji dengan tanggungjawab menjaga anak-anak.

“Saya juga diuji dengan masalah kewangan dan kehilangan peluang pekerjaan dalam bidang lakonan disebabkan sudah berhijab.

“Tapi ada yang tak percaya, kata saya menipu sakit, sedangkan ini adalah ujian sebenar yang saya lalui. Orang lihat saya seperti hidup senang, hakikatnya tidak,” katanya pada sesi siaran langsung di Tiktok usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri, semalam.

Menurut pelakon filem Sayang Salmah itu, kehidupan mereka sekeluarga semakin terhimpit selepas dirinya sakit membuatkannya sukar keluar bekerja sekali gus nyaris dihalau kerana tidak dapat membayar sewa rumah.

“Rumah saya sudah lama tidak berbayar dan hampir kena halau, bil elektrik juga tertunggak. Semua ini berlaku apabila saya sakit dan ekonomi keluarga merundum.

“Terdapat juga pihak yang bertanya kenapa tidak meminta bantuan daripada bekas suami? Dia juga uzur dan kini berusia 78 tahun.

“Kami juga pernah meminjam wang orang lain. Kadang-kadang orang kata nak bantu, tetapi apabila berlaku perselisihan, wang itu diminta semula dan akhirnya menjadi hutang,” ujarnya.

Katanya lagi, hal anak-anak turut dijadikan bahan kritikan apabila dia juga terpaksa berdepan dengan pandangan negatif segelintir pihak yang mempersoalkannya mempunyai keluarga besar.

“Ada yang mengata, sudahlah janda, anak pula ramai. Mereka kata ‘padan muka, siapa suruh bela anak ramai’. Macam-macam orang cakap,” jelasnya

Begitupun, Norish bersyukur masih diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan selain percaya segala yang berlaku adalah ujian Allah.

“Ada orang tidak percaya kami hidup berhutang kerana wajah kami seperti orang berada. Tetapi saya bersyukur, apabila orang berkata begitu, bermakna Allah masih menutup aib kami.

“Perlukah kami memakai pakaian koyak untuk orang percaya yang kami sedang susah?

“Apabila kita melihat orang lain diuji, sebenarnya itu juga ujian untuk kita. Sebagai ibu tunggal, saya memilih jalan halal walaupun banyak rintangan. Saya hanya lakukan apa yang mampu. Jika ada peluang berlakon, menyanyi atau mengacara, saya akan teruskan,” katanya.

Semalam, Aliff menyerahkan sumbangan sebagai gaji berjumlah RM20,000 kepada Norish dan lapan anak-anaknya hasil melakukan jualan siaran langsung selama dua jam di Tiktok.

Usaha Aliff dan isterinya, Datin Seri Nur Shahida adalah antara cara membantu meringankan beban keluarga pelakon terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN