JASIN – Pemandu bas dan kenalan wanitanya yang tular kerana aksi meriba mendakwa tindakan itu berlaku kerana wanita terbabit teringin memandu bas.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, suspek wanita berusia 21 tahun yang masih bujang itu mendakwa dia dan pemandu bas berusia 36 tahun berkenaan merupakan pasangan kekasih.
Menurutnya, dalam keterangan diberikan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin petang tadi, wanita itu memaklumkan dia mengenali lelaki tersebut sejak lima bulan lalu dan bekerja sebagai kerani di kaunter tiket bas di syarikat berlainan.
“Merujuk kepada klip video yang tular, gadis itu mendakwa dia diriba oleh pemandu berkenaan kerana teringin dan mahu belajar membawa bas. Dia juga mendakwa mereka merupakan pasangan kekasih,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata wanita terbabit memaklumkan dia hanya diriba ketika bas melalui susur masuk di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Bemban arah selatan.
“Dia mendakwa diriba dan memandu bas itu hanya seketika sebelum memasuki laluan utama lebuh raya, bagaimanapun siasatan masih diteruskan. Pemandu bas terbabit pula memberitahu dia telah memandu bas sejak 10 tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, ketika kejadian bas berkenaan dipercayai membawa kira-kira 24 penumpang dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin Sentral, Johor Bahru.
Katanya, kedua-dua mereka telah diambil keterangan selama dua jam sebelum ditahan bagi permohonan reman yang dijangka dibuat esok di Mahkamah Majistret Jasin, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE














