KUANTAN – Seramai 1,000 orang guru di negara ini menjadi perintis dalam program Association of Chatered Certified Accountants (ACCA) melalui insisatif daripada institusi pendidikan perakaunan terkemuka, Tymba Education Group (Tymba) dan juga ACCA.
Ketua Pegawai Eksekutif Tymba, Airil Razali berkata, melalui program yang bermula April ini guru-guru terbabit akan menerima Diploma in Finance Management and Accounting yang dianugerahkan oleh ACCA.
“Program ini telah bermula melibatkan kumpulan guru di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor dan kita jangkakan kesemua 1,000 guru ini akan menamatkan pengajian September ini.
“Ini kali pertama di dunia dan sebab Malaysia ini negara ketiga paling ramai ACCA sebenarnya di dunia, yang pertama China, kedua Pakistan dan kita ketiga paling ramai.
“Sebab itu kita cadangkan kepada ACCA global kita buat projek perintis melalui Malaysia, jadi kalau Malaysia berjaya dia akan jadi seluruh Asia,” katanya pada Hari Terbuka Sekolah Antarabangsa Kuantan (ISK) di sini hari ini.
Menurut Airil, pelaksanaan program melibatkan guru subjek Prinsip Akaun, Perniagaan dan Ekonomi itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan peringkat awal melibatkan 30 guru di Pahang.
Katanya, melalui program inisatif Tymba dan ACCA itu akan membolehkannya mendapat tajaan penuh dan kelulusan daripada Kementerian Pendidikan.
Dalam pada itu mengulas mengenai program tersebut beliau berkata, selaras dengan pelan tindakan yang dibuat kerajaan Madani di bawah Kementerian Pendidikan yang baru dilancarkan sebelum ini hendak menggalakkan kerjasama antara industri dan pihak kerajaan.
Jelasnya apabila selesai program ini guru-guru berkenaan akan berada di bawah ekosistem pendidikan ACCA dan berpeluang dalam meneruskan pengajaran dan pembelajaran berterusan (CPD).
“Kalau cikgu-cikgu perlukan apa-apa dari segi industri, jaringan itu sudah ada rapat kerja dengan cikgu sebab dia akan jadi duta antara industri dengan pelajar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














