PUTRAJAYA – Sebanyak 80 projek baharu dan sambungan di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sarawak telah diluluskan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk dilaksanakan dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM3.47 bilion.
KKDW dalam satu kenyataan berkata, program itu turut melibatkan peruntukan berjumlah RM141.87 juta di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“KKDW komited dalam memastikan infrastruktur asas luar bandar Sarawak terutamanya berkaitan bekalan air luar bandar terus diperkasa.
“Ini adalah susulan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 17 Mac 2026 yang bersetuju untuk menyerahkan BALB Sarawak kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan,” katanya.
Kata kenyataan itu, langkah ini diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek melalui pemerkasaan peranan Kerajaan Negeri Sarawak, demi memastikan manfaat dapat disampaikan kepada masyarakat luar bandar secara lebih pantas dan berimpak tinggi.
“Mesyuarat penyelarasan yang diadakan telah dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Ia bagi menyelaraskan tindakan yang perlu antara KKDW dan agensi pusat dengan Kerajaan Sarawak bagi memastikan penyerahan projek BALB berjalan dengan lancar,” katanya.
Jelasnya, inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan pihak KKDW untuk menerajui pembangunan luar bandar seterusnya meningkatkan kualiti hidup komuniti di Sarawak melalui penyediaan infrastruktur asas yang lebih kukuh. – KOSMO! ONLINE














