fbpx
Dua gelandangan dikesan berada berdekatan Jalan Pudu di Kuala Lumpur dalam tinjauan Kosmo! pada waktu malam baru-baru ini.

‘Setiap kali turun padang, ada sahaja muka baharu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Isu gelandangan di sekitar ibu negara semakin membimbangkan apabila jumlah individu yang hidup me­rempat di kaki lima dan lorong gelap me­ningkat antara 20 hingga 30 peratus setiap tahun.

Kebanyakan mereka bukan ber­asal dari ibu kota, sebaliknya berhijrah dari Sabah, Sarawak, Kelantan, Perak dan Johor untuk mencari pekerjaan, namun ramai yang kehabisan wang sebelum sempat mendapat kerja.

Akibatnya, ada yang terpaksa hidup di jalanan kerana kesempitan wang, manakala sebahagian lagi sengaja memilih kehidupan itu demi kebebasan tanpa terikat dengan komitmen seperti membayar sewa rumah.

Ketua aktivis yang juga Pe­ngasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohamad Azhan Mohamed Adnan berkata, trend peningkatan jumlah gelandangan itu dikesan hasil tinjauan pihaknya ketika menjalankan program agihan makanan.

Menurutnya, le­bih 500 gelandangan kini berada di beberapa lokasi utama di sekitar Kuala Lumpur dan jumlah itu didapati telah meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Antara kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan golo­ngan itu termasuk di sekitar Jalan Silang, kawasan berhampiran Bangkok Bank, Jalan Pudu dan Jalan Brunei.

“Majoriti gelandangan terdiri daripada lelaki berusia 30 tahun ke atas, manakala golongan wanita dan remaja jarang ditemui ke­rana kebanyakan mereka masih mempunyai keluarga untuk pulang jika gagal dapat kerja.

“Sekitar 500 orang itu yang saya jumpa, tapi saya yakin jumlahnya lebih besar. Sebab setiap kali turun padang, ada sahaja muka baharu yang ditemui, membuktikan jumlah mereka ini semakin ramai,” katanya kepada Kosmo!.

Mohamad Azhan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae berkata, majoriti mereka datang dari negeri-negeri lain dengan harapan untuk membina kehidupan lebih baik di Kuala Lumpur.

“Apabila mereka datang ke KL untuk cari kerja, ada yang kehabisan wang simpanan sebelum sempat mendapat pekerjaan.

“Ada juga yang sudah berjaya mendapat kerja, namun diberhentikan serta-merta apabila majikan mendapati mereka mempunyai rekod polis atau kes lampau, walaupun kejadian itu berlaku 20 tahun yang lalu.

“Diskriminasi terhadap rekod lampau ini telah menyebabkan mereka hilang punca pendapatan, sekali gus sukar mencari kerja baharu dan akhirnya terpaksa memilih jalanan sebagai tempat berteduh,” katanya.

Menurutnya, situasi itu secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan masalah sosial di ibu kota dan langkah menanganinya perlu segera dilakukan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN