fbpx
ALYA mengakui tidak berkawan dan berkenalan secara peribadi dengan Yusuf Bahrin.

Saya tak ‘berkawan’ dengan sesiapa di luar set – Alya Iman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Alya Iman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sebilangan pihak kononnya dia menjalin hubungan istimewa dengan rakan seperjuangan, Yusuf Bahrin di luar set penggambaran.

Alya atau nama penuhnya Nur Alya Iman Azmil, 25, mengakui sangat menjaga batas dengan pelakon gandingannya walaupun dia seorang yang sangat peramah.

“Mengenai hubungan saya dengan dia, saya sebenarnya tidak berkawan pun dengannya.

“Mungkin orang melihat saya sebagai seorang yang banyak bercakap, peramah dan bersosial. Namun hakikatnya, apabila berada di set, saya tidak ‘berkawan’ dengan sesiapa di luar set.

“Agak sukar untuk saya menjalinkan persahabatan di luar set. Bagi saya, set hanyalah set kecuali jika kami benar-benar rapat dan sebaya, barulah mungkin ada hubungan di luar,” katanya kepada Kosmo! Online pada sesi fotografi bagi drama Fathi Gabrielle di Media Prima, hari ini.

Dalam masa sama, pelakon drama Pabila Dia Tersenyum itu juga menegaskan tidak pernah menyimpan nombor telefon sekali gus menafikan hubungan mereka seperti dakwaan liar yang bertebaran.

“Saya bukan jenis yang cuba membina keserasian dengan cara keluar bersama, bertukar nombor telefon dan sebagainya.

“Jadi antara saya dan individu itu, memang tiada apa-apa hubungan.

“Kami tidak berkomunikasi dan saya langsung tidak tahu apa-apa. Secara literal, memang tiada,” jelasnya.

Selain itu, dia juga sangat menghormati rakan sekerja lebih-lebih lagi yang sudah berkahwin dan bersikap profesional di set.

“Sebenarnya, sebelum kes itu lagi, saya memang menghormati sesiapa sahaja yang bekerja dengan saya.

“Jika mereka mempunyai pasangan atau sudah berkahwin, saya akan menetapkan sempadan dengan jelas. Saya benar-benar menjaga batas itu.

“Sekiranya saya perlu menyampaikan sesuatu kepada mereka, saya akan menghubungi pihak pengurusan atau pembantu peribadi mereka.

“Itulah cara saya bekerja di set, dan itulah juga cara saya menetapkan sempadan sejak dahulu lagi,” katanya lagi.

Sebelum ini, anak kepada pelakon Azmil Mustapha itu membuat laporan polis bagi membersihkan namanya selepas dituduh menjadi orang ketiga dalam rumah tangga pasangan selebriti itu.

Tuduhan tersebut timbul selepas Alya dan Yusuf sama-sama membintangi drama Si Bakhil dan Bunganya pada tahun lalu.

Namanya sekali lagi dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga Yusuf dan Zizi selepas mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN