PETALING JAYA – Bersandarkan pengalaman, pelakon sensasi Abby Abadi berkongsi beberapa kesilapan dalam mendidik serta membesarkan anak yang sedang meningkat remaja.
Pada masa sama, Abby atau nama asalnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, berharap semua ibu terus kuat sepanjang berhadapan dengan sikap anak remaja.
“Salah didikan, terlalu dimanjakan dan dibiar bebas nak tentukan apa suka atau apa tak suka.
“Tiada yang beri arahan dan kerah dari awal. Kuat ye ibu,” katanya dalam Threads.
Selain itu, pelakon filem Gerak Khas The Movie itu menasihati golongan ibu bapa agar sentiasa berpada-pada mencurahkan kasih sayang.
“Sayang itu berpada-pada agar tidak terlalu kecewa bila mereka dah ada kehidupan sendiri,” ujarnya.
Perkongsian tersebut tercetus selepas seorang netizen mengajukan soalan berkenaan cara mengendalikan sikap anak meningkat remaja.
“Ibu kepada ibu, macam mana kalian mengendalikan anak-anak yang meningkat remaja?
“Kadang-kadang sampai rasa kecil sangat hati dengan perangai kalian?
“Susah betul nak lupa apa yang mereka dah buat dekat kita. Saya perlukan solusi,” tulisnya.
Sebelum ini, Abby pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Norman Hakim pada 2002 namun bercerai pada 2009.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 22, Marissa Dania Hakim, 20, dan Danisha Hakim, 17 tahun.
Abby kemudian bertemu jodoh dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 2015, manakala Norman berkahwin kali kedua dengan pelakon Memey Suhaiza pada September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata. – KOSMO! ONLINE














