PETALING JAYA – Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan sekeras-kerasnya penularan imej di media sosial yang mendakwa Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook Mohamad Sabu, imej tersebut disifatkan sebagai palsu dan hasil manipulasi digital yang boleh mengelirukan orang awam.
“Kenyataan tersebut adalah fitnah dan manipulasi digital yang tidak benar serta boleh mengelirukan orang awam kerana YB Menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya.
Sehubungan itu, pihak pejabat memaklumkan satu laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Tindakan lanjut akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran kandungan palsu ini,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang belum disahkan serta mengelakkan daripada menyebarkan kandungan tidak benar.
Terdahulu, tular satu imej memaparkan Mohamad Sabu bersama tanaman ganja dengan dakwaan beliau menggalakkan penjawat awam menanam bahan terlarang itu susulan konflik di Asia Barat. – KOSMO! ONLINE














